CYBERJAYA – Negara tiada pilihan menerima kecerdasan pintar (AI) dengan memanfaatkan perkembangan teknologi baharu itu seiring peredaran masa, namun nilai kemanusian tidak boleh sama sekali diketepikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pelaksanan AI kepada negara amat penting untuk rakyat bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan setanding negara lain.
Menurut beliau, bakat di dalam kalangan orang muda perlu dilahirkan bagi menguasai teknologi baharu itu bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi.
“Jika negara ini mahu menguasai kejayaan, kita harus bergerak seiring dengan masa termasuk menguasai digital, teknologi dan AI.
“Bagaimanapun, itu tidak bermaksud kita harus bergantung pada teknologi barat sebaliknya kita harus mempunyai kebijaksanaan untuk menguasai dan mengimbanginya dengan nilai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Temu Anwar @ Multimedia University serta Majlis Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemunculan teknologi baharu seharusnya berpandukan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberhasilan menyeluruh kepada rakyat.
“Laporan badan antarabangsa termasuk United Nations University jelas menunjukkan wujudnya fenomena AI Productivity Paradox iaitu pelaburan besar terhadap teknologi digital dan AI tetapi tidak membawa kepada peningkatan ketara produktiviti.
“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan masa lalu ketika projek penswastaan, konon untuk lebih cekap dan menjimatkan, tetapi akhirnya terpaksa diselamatkan kerajaan dengan kos tinggi kerana tadbir urus yang lemah,” katanya.
Anwar memberitahu, keseimbangan perlu ditekankan dalam pelaksanaan teknologi digital dengan mengambil kira keadilan sosial dan nilai kemanusiaan supaya tiada jurang kesenjangan bandar, luar bandar, kaya dan miskin serta akses pendidikan. – MalaysiaGazette

















