Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib

 

SERDANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan
Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 11
Ogos 2025 hingga 10 Ogos 2027.

Beliau menggantikan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail yang tamat tempoh pelantikan pada 24 April 2025.

Berusia 50 tahun, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim memiliki Ph.D dalam Sains Kejuruteraan dari
University of Oxford, United Kingdom, dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautikal
(Kepujian) dari University of Salford, United Kingdom.

Berpengalaman luas dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa, beliau diiktiraf di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa serta menyandang jawatan Presiden South East Asia
Network on Aerospace Engineering dan Timbalan Presiden Malaysian Society for
Engineering and Technology.

Anak kelahiran Johor ini telah berkhidmat di UPM selama lebih 22 tahun, bermula sebagai
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan pada 2003, sebelum
dilantik sebagai Pensyarah Kanan (2008), Profesor Madya (2010) dan Profesor (2020).

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pusat
Strategi dan Perhubungan Korporat (2016–2017), Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa (2017), dan Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UPM (2024–2025).

Di luar universiti, Prof. Abd Rahim mempunyai pengalaman industri yang signifikan,
termasuk sebagai Pengurus Besar di Malaysian Industry-Government Group for High
Technology (MIGHT) dan Ketua Pegawai Operasi di Aerospace Malaysia Innovation Centre
(AMIC), menguruskan projek strategik berkaitan industri aeroangkasa negara.

Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), beliau akan mengetuai
pentadbiran Pejabat TNCAA, memacu pembangunan polisi akademik, memperkukuh proses jaminan kualiti, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memperluas jaringan dan kerjasama antarabangsa UPM.

Pengurusan universiti menyifatkan pelantikan ini mampu memperkukuh usaha UPM
mencapai matlamat strategik dalam pengajaran dan pembelajaran, memperkaya
pengalaman pelajar serta menyokong pembangunan profesional berterusan kakitangan
akademik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast