Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

KUALA LUMPUR – Pendekatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang menggunakan isu perkauman untuk mempopularkan diri disifatkan sudah ketinggalan zaman serta tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, tindakan itu hanya mengalihkan perhatian rakyat daripada usaha sebenar yang diperlukan untuk membawa Malaysia ke hadapan.

“Pendekatan perkauman sebegini sudah tidak relevan lagi terutama ketika semua pihak sedang berusaha hidup dalam suasana aman, damai dan bersatu padu membangunkan negara.

“Kita bangga peristiwa hitam seperti tragedi 13 Mei telah 56 tahun berlalu tanpa berulang, walaupun muncul ‘hero-hero jadian’ seperti Dr Akmal yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman sempit.

“Mereka gagal kerana rakyat lebih mendambakan perpaduan dan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khalid, rakyat pada masa kini tidak melihat sebarang manfaat daripada tindakan mencetuskan perbalahan sama ada antara kaum mahupun agama.

Meskipun masih terdapat segelintir pihak bersikap seperti ‘samseng jalanan’ sebagaimana ditunjukkan Ahli Parlimen Pendang, Khalid menegaskan, tanggungjawab kerajaan dan pembangkang yang membina adalah untuk menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat saling menghormati dan mengasihi sambil menggembleng kekuatan bagi membangunkan negara.

“Jangan kerana mengejar populariti diri, ada pihak sanggup menghalang penyatuan rakyat dan menjerumuskan negara dalam perbalahan bodoh yang tidak menguntungkan sesiapa.

“Jika ini berlaku, kita akan terkandas sementara dunia terus maju meninggalkan kita jauh di belakang,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati Dr Akmal agar meninggalkan pendekatan politik berasaskan perkauman yang hanya merosakkan reputasi diri serta parti.

“Sebaliknya carilah usaha yang bermanfaat kepada rakyat dan negara untuk membuktikan kebolehan diri. Keluarlah dari bawah tempurung perkauman yang sudah lusuh dan reput ditelan zaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast