KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah anggap kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC dalam pusingan 16 Piala FA sedikit sebanyak beri motivasi selepas mereka bergelut dalam dua perlawanan terdahulu.
Satu kekalahan dan satu seri dalam dua aksi Liga Super sebelum ini bukanlah satu keputusan yang diinginkan oleh Yusri untuk anak buahnya.
Namun berjaya meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Badrul Afzan Razali kelmarin membuktikan perancangannya berhasil untuk barisan pemain bijak menguasai perlawanan meskipun Terengganu tidak beri laluan mudah.
Bagi Yusri, Terengganu pastinya akan lebih banyak menyerang untuk aksi timbal balik di laman sendiri pada 13 September depan dan Imigresen perlu hadir dengan taktikal yang lebih berbeza dalam misi merebut slot suku akhir.
“Alhamdulillah meskipun kita berdepan jalan yang sukar dalam perlawanan tetapi sekurang-kurangnya ini kemenangan pertama kita musim ini.
“Apa pun, biarlah kemenangan ini beri keyakinan kepada pemain-pemain saya dan kelebihan kita hanya satu gol sahaja sebelum kita ke gelanggang lawan.
“Sudah tentu lawan mesti akan cuba lebih banyak menyerang untuk aksi timbal balik dan saya perlu hadir dengan corak permainan yang lebih baik bagi pemain-pemain berdepan situasi itu,” kata kepada Liga Malaysia Bolasepak (MFL) di sini.

Dalam satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan adalah kemenangan DPMM FC ke atas Kucing City FC dengan keputusan 3-2.
Pengendali DPMM FC, James Reynolds bagaimanapun memberi bayangan aksi timbal balik yang lebih sukar akan dihadapi mereka kerana skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak nyata mempunyai kualiti tersendiri yang boleh mengubah keputusan di Stadium Negeri pula nanti.
“Karakter yang bagus ditampilkan oleh barisan pemain saya tetapi kami tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan ini sebab apa sahaja boleh berlaku di gelanggang lawan nanti.
“Kuching pula bermain dengan penuh semangat dan apabila mendapat sokongan kuat daripada penyokong mereka juga, itu yang bagi tenaga tambahan untuk mereka beri tentangan kepada kami,” katanya. – MalaysiaGazette
















