Norliza mengibarkan Jalur Gemilang bersama pelajar serta warga pendidik SK Sungai Gelugor pada Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.

GEORGE TOWN – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus membuktikan peranan proaktif sebagai tabung pendidikan tinggi utama negara dengan memanfaatkan Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 anjuran RTM untuk mengajak masyarakat merdeka daripada belenggu kesempitan kewangan dengan amalan menabung dan perancangan kewangan sejak awal usia melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program itu membuka ruang besar kepada PTPTN untuk turun padang mendekati masyarakat dan memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan simpanan pendidikan.

Beliau berkata, jelajah yang membabitkan 12 negeri itu membolehkan PTPTN mempromosikan produk serta memberi penerangan terus kepada masyarakat melalui booth yang dibuka di setiap lokasi.

Kata Norliza, selain memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan Simpan SSPN, PTPTN juga menekankan usaha menggalakkan bayaran balik pinjaman secara berhemah demi kelestarian dana pendidikan tinggi negara.

Norliza melepaskan konvoi Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.

“Alhamdulillah, PTPTN dijemput bersama dalam program ini. Ia memberi peluang kepada kami bukan sahaja menyambut Hari Kebangsaan, tetapi juga mengajak masyarakat membebaskan diri daripada hutang dengan mengamalkan budaya menabung.

“Kita mahu masyarakat Malaysia beralih daripada meminjam kepada menabung supaya anak-anak dapat melanjutkan pelajaran tanpa beban hutang yang tinggi pada masa depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Norliza merasmikan Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang (RTM), Ts. Nor Hisham Abbas, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Zawawi Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, Isma Sharni Mohamad Saad, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Pada majlis sama, Norliza turut menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 100 pelajar memerlukan di sekolah berkenaan sebagai galakan menabung sejak usia muda dan menyokong aspirasi pendidikan tinggi.

Norliza menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 100 pelajar memerlukan di sekolah berkenaan sebagai galakan menabung sejak usia muda.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif dan patuh syariah.

Mengulas tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, mencerminkan komitmen PTPTN dalam memastikan masyarakat, khususnya pelajar, sentiasa dibantu melalui peluang pendidikan tinggi yang sama rata tanpa mengira latar belakangdan menjadi pemangkin kejayaan dengan menyediakan pinjaman, skim simpanan pendidikan serta inovasi digital yang memudahkan urusan. Semua ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif.

“Pada masa sama, kita juga sedang melaksanakan kempen Lestari Pendidikan bagi membantu peminjam membuat penstrukturan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing di mana mereka perlu tampil berjumpa supaya kita dapat membantu mereka menyelesaikan hutang dengan lebih baik,” katanya.

Melalui inisiatif ini, PTPTN memberi ruang kepada peminjam untuk berunding dengan menyediakan pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan peminjam. PTPTN sentiasa membuka peluang kepada semua peminjam yang mempunyai masalah untuk datang berunding dengan PTPTN melalui #PTPTNBolehBincang.

Norliza turut melawat galeri warisan SK Sungai Gelugor beusia 199 tahun.

Bagi memperkukuh kesedaran bayaran balik pinjaman, PTPTN dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menghasilkan lagu berjudul “Demi Generasi Ku”. Pendekatan kreatif ini bertujuan meningkatkan pemahaman, kebersamaan dan semangat bertanggungjawab dalam melaksanakan bayaran balik pinjaman pendidikan.

Seiring dengan sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-68 tahun, PTPTN menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk bersama-sama memerdekakan generasi masa depan dengan menggalakkan budaya menabung sejak awal usia serta memupuk rasa tanggungjawab membayar balik pinjaman demi kelestarian dana pendidikan tinggi negara – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast