Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Seramai 60 pegawai dan 1,004 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak dalam penugasan operasi di perbatasan Malaysia-Thailand.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia meliputi Op Pagar II dan Op Kota Bravo, Charlie dan Delta di Kedah; Operasi Pagar III dan Op Kota Echo dan Foxtrot di Perak serta Op Merpati Sektor 8 Briged di Kelantan.

“Kementerian Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) telah ditugaskan bagi mengawal sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Kayu Hitam di Kedah hingga ke Rantau Panjang di Kelantan.

“Kawalan sempadana dilakukan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bertanyakan kepada Menteri Pertahanan tentang status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.

Adly berkata, pelaksanaan operasi itu telah ditambah baik dengan penugasan pelbagai aset baharu dan senggaraan infrastruktur yang berterusan di semua pos penempatan operasi di bawah penyelarasan Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG).

“Aset-aset yang telah diatur gerak antaranya seperti kenderaan jenis 4 x 4, motosikal scrambler, All Terrain Vehicle (ATV) dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

“Dengan pertambahan aset di kawasan operasi, kawalan di sempadan akan dapat diperkukuhkan lagi dan seterusnya mencegah pencerobohan dari luar,” katanya.

Selain itu, katanya, hubungan bilateral yang baik antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (RTA) telah wujud melalui perjanjian General Border Committee (GBC) MALTHAI.

“Antara kerjasama dua hala yang melibatkan TDM dan RTA adalah Mesyuarat Regional Border Committee (RBC), Mesyuarat Land Working Group (LWG) dan Combined Force Border Patrol (CFBP) yang dikoordinasikan oleh Malaysia-Thailand Border Coordination Office (MTBCO).

Katanya, terdapat empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) telah diwujudkan melalui pembinaan pos secara bersebelahan antara kedua-dua negara.

“Antaranya ialah PST Ban Di Da dan Ban Di Samoe di daerah Sik, Kedah manakala PST 34 dan 36/100 di kawasan Durian Burung, Padang Terap, Kedah. Ia secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan dua hala antara TDM dengan RTA.

“Dengan penugasan anggota dan penempatan aset-aset pertahan di samping kerjasama bersama-sama agensi keselamatan lain termasuk dari negara jiran.

“Kementerian Pertahanan tetap komited dalam memperkukuhkan kawalan sempadan di utara Semenanjung Malaysia bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara kekal terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast