Maleha Mohd Noh merakamkan gambar bersama tetamu jemputan dan peserta program.

KOTA KINABALU – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah
melancarkan Program Inovatif Kesihatan Mental Remaja di HUMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah HUMS, Dr. Malehah Datuk Mohd Noh, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membekalkan remaja dengan kemahiran emosi dan sosial yang penting bagi menghadapi cabaran kehidupan.

“Selain itu, program ini hadir tepat pada masanya memandangkan statistik menunjukkan kes buli di Malaysia meningkat sebanyak 77% dari tahun 2015 hingga 2023.

“Di Sabah khususnya, kadar prevalens buli dalam kalangan pelajar sekolah berada pada paras 9 hingga 10 peratus, membuktikan perlunya intervensi segera, pencegahan berkesan, serta penglibatan aktif semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.

“Justeru itu, program ini dilihat mampu memberi kemahiran dan ruang selamat kepada remaja agar mereka dapat mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara aman, dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis pelancaran program tersebut.

Malehah menambah, inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan pengawalan emosi, serta kemahiran interpersonal dalam kalangan remaja.

“Melalui sesi interaktif bersama pelajar dan guru, program ini menyediakan alat praktikal untuk membantu remaja mengurus tekanan, membina hubungan sihat, dan meningkatkan daya tahan diri.

“Kerjasama HUMS dan UNICEF ini turut merangkumi latihan kepada guru serta kaunselor sekolah, bagi memastikan kesannya berkekalan,” katanya.

Ujar beliau, harapan HUMS dan UNICEF adalah agar program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli dan tekanan emosi di sekolah, tetapi juga membentuk generasi muda Malaysia yang lebih berdaya tahan, berempati, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast