Rahimah membacakan al-Quran semasa menjaga dan menguruskan Mohd Nihal di rumahnya di PPR Sungai Tiram, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU -Kehadiran sosok seorang ibu, sememangnya menjadi tulang belakang dan kekuatan dalam sebuah keluarga.

Apatah lagi jika dia merupakan seorang ibu tunggal dan diuji dengan pelbagai dugaan.

Bagi Rahimah Abdul Karim, 50, tiga daripada enam cahaya matanya merupakan anak istimewa.

Dia berkata, doktor memaklumkan ketiga-tiga anak istimewanya itu tidak akan mempunyai hayat yang panjang dan ramalan itu sudah menjadi realiti apabila seorang daripadanya sudah pergi menghadap ilahi.

“Doktor menyatakan usia tiga anak syurga saya tidak panjang, Alhamdullilah Allah masih meminjamkan dua daripadanya yang turut menjadi saham akhirat saya.

“Seorang daripada tiga anak istimewa itu iaitu anak keempat, Mohamad Rafiq Shah sudah meninggal dunia pada 2014 ketika usianya 14 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Seorang lagi iaitu anak ketiga, Nurul Ain Abu Bakar, 26 mengalami masalah lembam manakala seorang lagi iaitu anak kelima, Mohd Nihal, 23, merupakan pesakit terlantar akibat masalah tulang belakang dan lumpuh,” katanya ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram, di sini, hari ini.

Menurutnya, anak lelakinya itu juga merupakan pesakit pneumonia hingga mengakibatkannya kerap menerima rawatan di hospital.

Kata Rahimah, Mohd Nihal juga kerap diserang sawan serta tidak mampu berkomunikasi.

“Doktor menyatakan mereka terutama Mohd Nihal tidak akan panjang umur dan berdepan dengan risiko pada bila-bila masa. Namun berkat doa kami sekeluarga, dia masih dipanjangkan usia,” katanya.

Rahimah mengakui bukan mudah menjaga dua anak syurganya itu terutama Mohd Nihal manakala Nurul Ain turut memerlukan penjagaan kerana tidak mampu mengurus diri dengan baik.

Menurutnya, dalam mengurus dua cahaya mata berkenaan, dia turut diuji dengan masalah anxiety serta asma.

Katanya, ini mengakibatkan keadaan kesihatannya turut terjejas dan perlu mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital.

“Dua anak orang kurang upaya (OKU) saya masih perlukan perhatian sepanjang masa kerana mereka tidak boleh ditinggalkan bersendirian.

“Saya bersyukur kerana bekas suami membantu memberi jagaan kepada Mohd Nihal sekiranya keadaan kesihatan saya kurang baik termasuk mengurus perjalanan Mohd Nihal ke hospital,” katanya.

Pada masa ini dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900 sebulan.

“Memang wang berkenaan hanya mencukupi bagi menampung sebahagian perbelanjaan keluarga termasuk membayar sewa rumah, bil utiliti serta keperluan anak hingga saya terpaksa mengikat perut serta meminjam daripada kenalan.

“Sebelum ini saya memang mengusahakan katering dari rumah namun tidak mampu mengambil tempahan yang banyak kerana semakin sibuk mengurus anak,” katanya.

Rahimah berkata, dua anak lelakinya termasuk anak sulung dan kedua adalah normal dan mereka sudah berumah tangga.

“Dua anak saya sudah memiliki tanggunggan masing-masing dan mereka membantu sekadar yang mampu dan kebiasaannya saya juga tidak mengadu permasalahan kepada mereka kerana tidak mahu membebankan.

“Saya memasang impian untuk membelikan kerusi roda elektrik bagi Mohd Nihal yang bernilai RM4,000 kerana akan memudahkan ketika berurusan di hospital namun sehingga kini di luar kemampuan kami,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada ibu tunggal itu menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Rahimah 0113629000137222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast