Xesco Munoz

JOHOR BAHRU – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu fokus, disiplin serta mengikut perancangan taktikal yang sudah disusun ketika beraksi menentang Lion City Sailors bagi aksi saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

Pengendali skuad JDT, Xesco Munoz berkata, fokus utama skuad Harimau Selatan ketika ini adalah bagi merealisasikan misi kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Kami sedar setiap pasukan datang dengan motivasi besar untuk menentang JDT. Apa yang penting, pemain saya perlu fokus, disiplin serta mengikut perancangan taktikal yang sudah disusun.

“Perlawanan ini berbeza dengan aksi persahabatan kerana ia melibatkan mata dan kedudukan kumpulan. Kami tidak boleh leka selain memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Oleh itu, saya percaya dengan kualiti dan semangat pemain untuk mencatatkan kejayaan pada aksi sulung ini,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan berkenaan.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Jon Irazabal menegaskan, skuad Harimau Selatan itu sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada aksi tersebut.

“Kami tahu tiada perlawanan mudah di kejohanan ini. Setiap pasukan mahu mencatatkan kemenangan, tetapi kami bermain di laman sendiri, jadi kelebihan itu mesti digunakan sebaik mungkin.

“Saya percaya dengan pasukan ini kerana kami berlatih keras setiap hari untuk memastikan kesemua pemain berada pada tahap terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast