Azizi Safar

GEORGE TOWN – Persoalan sama ada Parlimen Ampang bakal berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terus kekal sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjadi tanda tanya.

Ini susulan kenyataan Pemuda Perpaduan Parlimen Ampang yang menegaskan mereka hanya mahu anak jati Ampang dicalonkan pada masa depan, termasuk bagi kerusi Parlimen Ampang serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya yang kini disandang wakil PKR.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, walaupun PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan luar jangka sebelum 19 Disember 2025, peluang untuk kerusi itu dikosongkan secara sukarela oleh ahli Parlimennya, Rodziah Ismail adalah amat tipis.

“Tidak ada sebab untuk Rodziah melepaskan kerusi tersebut hanya semata-mata mahu memberi laluan kepada Tengku Zafrul.

“Dari sudut politik, ia akan menimbulkan pergolakan besar dalam PKR dan imej negatif terhadap kerajaan,” katanya hari ini.

Tambah Azizi, faktor lain yang menguatkan lagi kebarangkalian PRK tidak akan berlaku ialah kedudukan kerajaan Madani yang dilihat rapuh dari segi sokongan rakyat.

“Populariti Perdana Menteri dan kerajaan dikatakan berada di bawah paras 40 peratus. Jadi, melepaskan kerusi Ampang kepada PRK sangat berisiko kerana PKR tidak boleh jamin kemenangan semula.

“Bagaimanapun, perkara yang perlu diberikan perhatian adalah pelantikan Tengku Zafrul sebagai senator akan tamat pada 1 Disember ini, sekali gus menamatkan kedudukan beliau sebagai menteri sekiranya tiada langkah politik lain diambil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast