Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 20 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berhubung nota bantahan UMNO terhadap parti gabungan yang membenarkan penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR.

Menurutnya, beliau akan merujuk perkara tersebut kepada Fuziah bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Itu surat sudah lama dah. Sudah terima? (soalan wartawan). Saya kena semak dengan Setiausaha Agung (Fuziah Salleh),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas nota bantahan UMNO kepada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang mengizinkan kemasukan ahli daripada UMNO ke parti lain.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan setiap parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati konvensyen yang telah dipersetujui bersama.

Media turut melaporkan UMNO akan menyampaikan nota bantahan rasmi kepada parti gabungan dalam kerajaan sebagai tanda protes terhadap tindakan mengizinkan ahli UMNO menyertai parti lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, langkah itu penting kerana tindakan seumpama itu boleh mengeruhkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau menegaskan, pendirian tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 13 Ogos lalu.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai PKR sudah diterima.

Beliau yang meletakkan jawatan dalam UMNO pada 30 Mei lalu kini sah sebagai ahli PKR Cabang Ampang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast