Aleksandar Rankovic berkata pasukannya tidak gentar berdepan JDT biarpun rekod pertemuan sebelum ini tidak begitu memihak kepada skuad The Sailors.

JOHOR BAHRU – Pengendali Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic berkata, pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembukaan Kumpulan B kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), di Stadium Sultan Ibrahim esok akan menguji mereka.

Walaupun begitu, katanya, pasukannya tidak gentar berdepan JDT biarpun rekod pertemuan sebelum ini tidak begitu memihak kepada skuad The Sailors.

Beliau berkata, aksi berdepan skuad Harimau Selatan kali ini bakal menjadi medan sebenar untuk menilai kemampuan barisan pemain setelah tewas dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini,

“Kami sudah bermain tiga perlawanan persahabatan, ya kami tewas tetapi kali ini ia sesuatu yang berbeza.

“JDT pula telah mara jauh dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit); tetapi musim ini ia satu kejohanan berbeza. Tidak adil untuk bandingkan pasukan musim ini dengan musim lalu kerana banyak perubahan berlaku termasuk daripada segi jurulatih dan pemain.

“Justeru, saya mengharapkan suasana yang berbeza kerana motivasi pemain kini tinggi terutamanya apabila berdepan pasukan besar seperti JDT,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan.

Sementara itu, pertahanan The Sailors, Toni Datkovic, mengakui perlawanan menentang JDT sentiasa mencabar kerana skuad Harimau Selatan memiliki kualiti pemain yang mantap.

Justeru katanya, Rankovic dijangka menurunkan kesebelasan terbaik berdepan JDT kali ini.

“Kami tahu JDT pasukan terbaik di rantau ini tetapi sebagai pemain, kami perlu turun dengan mentaliti positif dan fokus kepada permainan kami sendiri.

“Apa yang penting, kami akan berikan segalanya di atas padang, sama ada dalam menyerang mahupun bertahan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast