JOHOR BAHRU – Tular seorang kanak-kanak dibuli seorang kanak-kanak lain sehingga cedera di sebuah blok kawasan perumahan Molek Ria, Jalan Persiaran Bumi, di sini, pada Jumaat lalu.
Video berdurasi 1 minit 24 saat itu memaparkan seorang budak lelaki berseluar pendek dan memakai baju merah sedang menunggu ibunya di hadapan lif blok perumahan terbabit.
Tidak lama kemudian, mangsa didatangi sekumpulan empat budak lelaki yang mana seorang daripada mereka menendang perut mangsa sebelum mereka melarikan diri.
Selang beberapa saat kemudian, ibu mangsa keluar daripada lif sebelum kelihatan mangsa dipercayai mengadu tentang apa yang dialaminya.
Dalam video berkenaan terdapat mesej dipercayai daripada kumpulan sembang komuniti perumahan tersebut membincangkan kes buli berkenaan yang mendakwa kejadian buli itu bukan pertama kali, malah dipercayai telah beberapa kali berlaku ke atas mangsa.
Dalam mesej sembang itu juga membincangkan si pembuli melibatkan budak yang sama selain mendakwa jika diberitahu kepada ibu si pembuli, dia akan melenting.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam terkesan dengan video yang tular itu semalam dan pada masa sama menerima laporan polis daripada ibu mangsa berusia 33 tahun berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 2.03 petang Jumaat lalu di bawah blok berkenaan.
“Dimaklumkan anaknya ditendang di bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tinggal di kawasan perumahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan cedera, jika sabit kesalahan boleh hukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes itu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat. – MalaysiaGazette
















