Saifuddin semasa merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Perjuangan untuk mencari kebenaran dan keadilan terhadap kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir perlu dilakukan berlandaskan undang-undang.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masyarakat tidak boleh dengan sewenangnya menerima sebulat-bulatnya tuduhan pihak yang tidak berkuasa seterusnya disebarkan di media sosial.

“Tugas polis kuatkuasakan undang-undang dan dalam menjalankan siasatan semua kita, di sini yang menganjurkan siri demonstrasi nak cari kebenaran nak tegakkan keadilan.

“Apa caranya? Mesti mengikut lunas hukum undang-undang kebenaran tidak boleh dibuat dengan telan bulat-bulat apa yang doktor patologi yang kita tangkap semalam, kebenaran dan keadilan tidak boleh ditegakkan dengan cikgu yang buat teori kata Zara dibunuh, didera dengan mesin basuh baju .

“Kebenaran dan keadilan mesti melalui proses siasatan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Jelas Saifuddin, polis sudah tentu akan menggunakan hasil siasatan untuk bertindak mengikut aspek perundangan.

“Siapa paling berkuasa buat siasatan? Polis. Dengan 195 keterangan saksi tentunya kita ambil sedikit masa untuk betul-betul kemas kini itu yang kita serahkan pada Isnin lepas yang membawa kepada pengumuman Peguam Negara.

“Itu yang saya maksudkan polis bertindak mesti mengikut lunas undang-undang untuk tujuan mencari kebenaran dan keadilan,” tambahnya.

Semalam dilaporkan, suspek mendakwa dirinya sebagai pakar patologi terbabit dalam proses bedah siasat jenazah Zara berjaya dikesan di Kota Damansara.

Sebelum itu, seorang guru bahasa Inggeris juga ditangkap kerana membuat kandungan (content) dengan mendakwa Zara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast