Semua dijemput hadir

PEKAN – Yayasan Tenun Pahang Diraja buat julung kalinya bakal menganjurkan Temasya Warisan Pahang 2025 pada 1 hingga 7 September ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi di sini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat menyempurnakan majlis perasmiannya pada pukul 8.30 malam 31 Ogos ini di Muzium Maritim, Pulau Beram, di sini.

Menurut kenyataan dKesultanan Pahang, pada majlis berkenaan turut diadakan Majlis Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Majlis Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja.

“Majlis pada malam tersebut akan diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah; Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

“Turut dijadual hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg,” katanya.

Katanya, pada malam tersebut turut diadakan Pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi, Datuk M. Nasir.

Temasya Warisan Pahang 2025 akan menampilkan bengkel-bengkel kraf dan masakan warisan yang bukan sahaja dari Pahang tetapi dari seluruh negara termasuk Sarawak.

Selain itu, terdapat penglibatan Turkiye dan beberapa negara ASEAN seperti Laos, Singapura dan Indonesia sebagai tanda sokongan terhadap Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam memartabatkan seni kraf warisan negara di persada dunia.

Antara bengkel kraf yang akan diadakan selama tujuh hari itu ialah batik blok, batik lukis, batik clay, batik linut, batik eco-print, batik ikat dan celup, ukiran kayu, seni jahitan kreatif, anyaman mengkuang, anyaman rotan, seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, Lao PDR -benang sutera-silk reeling, sulaman, pewarnaan alam (natural dye), serat nanas dan serta kenaf.

“Malah, turut dianjurkan juga pertandingan masakan dalam kalangan pelajar sekolah dan menariknya, Tengku Ampuan Pahang akan mengadakan demonstrasi masakan.

“Selain Tengku Ampuan Pahang memasak, demonstrasi masakan tradisional Pahang turut dijadualkan berlangsung termasuk makanan citarasa bangsawan,” tambah kenyataan itu,.

Temasya Warisan Pahang juga akan menampilkan Pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, Pameran Tiffin (mangkuk tingkat) dan pameran lukisan.

Seni kraf Orang Kita turut diketengahkan antaranya ialah ukiran patung suku kaum Jahut, anyaman selempang suku kaum Semelai dan anyaman tikar serta pembuatan bakul rotan.

Tidak lengkap dengan itu, intipati Temasya Warisan Pahang juga akan melibatkan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara dan persembahan budaya Sarawak, selain terdapat juga reruai maklumat daripada pihak perbankan.

Ruang vendor makanan dan minuman turut disediakan bagi memberi pilihan kepada orang ramai menikmati hidangan yang dijual.

Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang 2025 pula akan diadakan pada 7 September 2025 di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan pada pukul 8.00 malam.

Penganjuran Temasya Warisan Pahang yang julung kali dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja ini turut mendapat kerjasama Muzium Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Sebarang pertanyaan berhubung Temasya Warisan Pahang boleh dihubungi menerusi emel [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast