Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Aneese Ibrahim (dua dari kiri) merasmikan Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credential (FLEXMC) dan Pusat Penilaian APEL sebagai pemacu transformasi pendidikan tinggi negara di UMPSA Pekan pada semalam

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia diberi mandat penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk melaksanakan penilaian APEL.A Antarabangsa Tahap 7 bagi calon bukan warganegara.

Naib Canselornya,  Profesor Dr. Yatimah berkata, UMPSA telah menilai lebih 500 calon dalam dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Pakistan, Yaman, Kenya, Libya, Singapura dan Bangladesh sejak dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL Terbuka pada 2022,

“Kesemua proses penilaian ini dijalankan 100% secara dalam talian, memberi kemudahan maksimum kepada calon di seluruh dunia.

“APEL.A UMPSA membuktikan pengalaman kerja juga boleh diiktiraf sebagai laluan akademik untuk ke peringkat lebih tinggi. Dengan mandat antarabangsa, UMPSA kini menjadi peneraju APEL.A global,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini juga dijangka dapat memperkukuh ekosistem pembelajaran sepanjang hayat dan menyokong transformasi pendidikan tinggi negara agar lebih inklusif, terbuka dan sejajar dengan perkembangan global.

Menurut beliau, UMPSA juga menghargai kepercayaan pihak MQA melantik universiti ini  sebagai  salah satu daripada empat universiti perintis Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) di Malaysia yang berperanan melaksanakan proses verifikasi kualiti bagi kursus Stand-Alone Micro- Credential (SAMC) yang ditawarkan oleh pelbagai penyedia kursus di seluruh negara.

“Dengan hampir 80 panel penilai dalaman dan luar yang berkelayakan tinggi, QVC UMPSA membolehkan kursus micro-credential yang disahkan mendapat pengiktirafan rasmi MQA, seterusnya boleh digunakan untuk pemindahan kredit atau pengiktirafan pembelajaran terdahulu.

“Pelancaran QVC ini membolehkan UMPSA memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti kursus micro-credential di Malaysia setanding dengan standard global. Semua proses verifikasi juga dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian,” katanya.

Jelasnya UMPSA turut memperkenalkan Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credential (FLEXMC) yang sebagai pusat inovasi digital dan rujukan utama pendidikan fleksibel.

Sehingga kini, pihaknya berjaya membangunkan 133 modul micro-credential, termasuk 28 modul kategori SAMC.

Manakala sebanyak 105 modul telah ditawarkan kepada komuniti luar UMPSA melalui platform Ulearn UMPSA @ OpenLearning dan MyCredentials UMPSA.

Susulan itu, tiga pusat penting yang menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara iaitu QVC, Pusat Pembelajaran FLEXMC dan Pusat Penilaian APEL yang dapat memberi manfaat buat masyarakat di negara ini khususnya di Pantai Timur.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pelancaran tiga pusat ini merupakan inisiatif UMPSA sebagai penanda aras baharu pendidikan fleksibel dan digital di Malaysia.

“Pelancaran pusat ini mengukuhkan lagi persediaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju di Rantau ASEAN dan menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara menerusi usaha mendigitalisasikan pendidikan tinggi terhadap pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (P&P) di IPT menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.

“Ini peluang UMPSA untuk bekerjasama mengembangkan jaringan luar dengan pihak industri dalam pelbagai bidang kepakaran yang menyokong kepada micro-credential, pembelajaran e-learning dan pembelajaran sepanjang hayat (PSH),” katanya menerusi kenyataan.

Malahan, katanya ia merupakan satu petanda positif yang membuktikan kesediaan UMPSA untuk meningkatkan kesedaran warganya terutama tenaga pengajar UMPSA yang mempunyai kepakaran mengenai kepentingan untuk menyumbangkan tenaga, idea bagi pembangunan modul-modul latihan kepada pihak industri.

Usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pembelajaran rujukan industri, malah turut menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast