Setiausaha URIMAI, Satees Muniandy

KUALA LUMPUR – Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) menasihatkan Pemuda DAP (DAPYS) untuk berhenti daripada terus membela pelaku yang mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang tidak betul.

Setiausaha parti itu, Satees Muniady berkata, tindakan itu perlu diambil segera bagi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan perdebatan yang tidak berkesudahan.

Tambahan pula katanya, tindakan DAPSY mempertahankan individu terlibat dengan kesalahan bendera walaupun insiden tersebut sudah berulang kali berlaku adalah memalukan selain menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan tersebut dan mahu menjadikan insiden bendera terbalik sebagai perkara biasa? Apakah mesej yang mereka cuba sampaikan kepada rakyat Malaysia pada bulan kemerdekaan ini?

“Mereka yang terlibat dalam kesalahan bendera, sama ada dengan sengaja atau tidak, mesti bertanggungjawab atas perbuatan mereka. Kejahilan bukan alasan di sisi undang-undang. Sepatutnya ramai peguam dalam DAP mengajar sayap pemuda mereka sendiri tentang perkara asas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Satees, di negara seperti India, penghinaan terhadap bendera kebangsaan, sama ada sengaja atau tidak, boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Namun di Malaysia, kita masih berdebat sama ada pelaku benar-benar “tersilap” atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan Pemuda DAP yang menganggap kesalahan bendera ini sebagai isu “remeh”, mereka seharusnya melepaskan dahulu jawatan dalam kerajaan yang sedang disandang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast