Mohammad Syafiq (kiri) dan Awie Serah ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kluang hari ini.

KLUANG – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman RM10,000 selepas dua lelaki mengaku salah atas pertuduhan menjadi keldai akaun bagi sindiket pemerasan berunsur seks (sextortion) secara dalam talian.

Mohammad Syafiq Azmi,30, dan Awie Serah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Mahkamah dihadapan Hakim, Mujib Saroji.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Syafiq dan Awie didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,500 dan RM100 ke dalam akaun bank milik tertuduh tanpa tujuan sah.

Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Jalan Mengkibol 5/11, Kampung Mengkibol, di sini, pada 3 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya merayu diringankan hukuman kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab menyara seorang anak dan isteri selain mendakwa turut menjadi mangsa penipuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli dalam hujahnya memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal agar dapat menjadi pengajaran serta kepentingan awam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM10,000 atau tiga tahun penjara jika gagal membayar denda dan Kedua- dua tertuduh membayar denda.

Terdahulu polis menahan dua lelaki selepas dipercayai bertindak sebagai keldai akaun bagi sindiket berkenaan yang memperdaya seorang mangsa melalui aplikasi sosial, Litmatch.

Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad dalam satu kenyataan hari ini berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun pada 3 Januari lalu mendakwa diperdaya seorang wanita untuk membuat panggilan video lucah.

Lelaki itu kemudian memindahkan wang berjumlah RM3,600 ke akaun sindiket berkenaan selepas diugut wanita berkenaan.

Susulan laporan diterima, polis melakukan dua serbuan berasingan di Johor Bahru dan Melaka pada 18 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menerima upah antara RM100 hingga RM200 bagi setiap transaksi selepas membenarkan akaun bank mereka digunakan sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast