JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri perlu bersikap terbuka serta proaktif menerima pandangan dan peringatan Johor bakal berdepan krisis air terawat menjelang 2030.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pandangan yang dibuat adalah demi kepentingan masa hadapan negeri ini.

Bekas Exco Kerajaan Johor itu berkata, teguran tersebut tiada kena mengena dengan isu menentang kemasukan pelaburan Pelaburan langsung asing (FDI) ke Johor.

“Benchmark adalah pastikan setiap pelaburan FDI yang masuk mendatangkan lebih manfaat daripada mudarat kepada Johor.

“Keresahan rakyat Johor mengenai risiko krisis air terawat menjelang tahun 2030 adalah berasaskan fakta serta pengalaman negara lain, bukannya sekadar sangkaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beberapa negara yang pernah menjadi lokasi pusat data seperti Amerika Syarikat iaitu di Arizona dan California, Belanda (Amsterdam dan Zeewolde), Ireland (Dublin) dan Chile (Santiago) akhirnya berdepan krisis air dan tenaga.

“Bahkan Singapura yang terkenal dengan teknologi air canggih (NEWater, desalinasi) turut melaksanakan moratorium terhadap pusat data baharu dari tahun 2019–2022 akibat isu tenaga dan air serta Johor tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama.

“Amanah Johor menegaskan, bukan masanya menuding jari atau menafikan pandangan pihak lain dengan menuduh berniat jahat untuk menakutkan pelabur-pelabur,” katanya.

Pandangan dan teguran katanya, dibuat demi kepentingan masa hadapan Johor serta Bangsa Johor dan tidak ada kena mengena dengan isu menentang kemasukan FDI.

Pada masa ini kata beliau, bukan masanya menuding jari atau menafikan pandangan pihak lain dengan menuduh berniat jahat untuk menakutkan pelabur-pelabur.

Usaha mencari penyelesaian inklusif demi kepentingan Bangsa Johor pada masa hadapan mesti diutamakan ujarnya, seperti pepatah Melayu sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Johor merupakan negeri dengan tarif air domestik tertinggi di Malaysia, namun Dzulkefly berkata, tahap kecekapan pengurusannya masih rendah dan gangguan air berjadual dan tidak berjadual terus berlaku di bawah seliaan Ranhill SAJ Sdn Bhd.

Malah katanya, kelemahan tersebut turut ditegur oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini.

“Amanah Johor menegaskan bahawa isu air ini tidak boleh dipandang ringan atau sekadar dijawab dengan retorik politik,” tambahnya.

Kerajaan negeri perlu segera membentangkan pelan jangka panjang yang telus, menambah baik sistem pengurusan air, serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan, katanya.

“Air adalah hak rakyat yang perlu dianggap sebagai National Security Issue dan tidak boleh dikompromi atau menjadi taruhan walaupun atas nama industri digital,” katanya.

Ahad lalu, Dzulkefly melahirkan kebimbangan Johor bakal berdepan krisis air terawat menjelang 2030 atau lebih awal lagi sekiranya empat perkara tidak dilakukan.

Rabu lalu, Menteri Besar Johor, menepis dakwaan yang cuba menakutkan pelabur dengan mengatakan negeri ini tidak dapat menyediakan bekalan air dan elektrik mencukupi sekiranya melabur.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan itu adalah satu fitnah dan tohmahan yang berniat jahat terhadap usaha kerajaan menarik masuk pelaburan antarabangsa khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan melakukan semakan terlebih dahulu sekiranya mana-mana syarikat yang ingin membangunkan pusat data di Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast