JOHOR BAHRU – Murid mangsa buli yang kepalanya dihantuk dan dipaksa bogel oleh budak berusia 12 tahun, kini trauma dengan kerap menangis dalam tidur dan mengigau.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 40, mendakwa, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang mengalami gegaran otak akibat kejadian itu dan dirawat di hospital masih tidak ke sekolah sejak 8 Ogos lalu.
Namun Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, Izzul Islam tetap teruja untuk kembali bersekolah walaupun selepas insiden berkenaan tular malah sudah diketahui ramai termasuk rakan sekolahnya.
“Dia sudah lama bercuti akibat tidak sihat dan menerima rawatan di Hospital Pakar Puteri KPJ di sini dan masih mempunyai kesan-kesan trauma akibat kejadian itu.
“Sejak kejadian ini tular, dia masih belum bersekolah kerana berada di hospital sejak 12 Ogos sehingga kelmarin, tetapi Izzul beritahu dia tak sabar untuk kembali ke sekolah.
“Ini kerana dia mempunyai dua rakan karib dan mereka bertiga sentiasa bersama-sama. Semasa kejadian buli itu berlaku dua rakannya itu juga yang membantu dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Universiti di sini hari ini.
Suri rumah itu berkata, walaupun anak keempatnya itu enggan memberitahu perasaan sebenarnya iaitu trauma, namun dia percaya itu yang sedang dihadapi.
“Izzul memang tidak mahu beritahu kepada saya sama ada dia trauma atau tidak sihat, kerana dia mahu ke sekolah. Tetapi saya tahu keadaan dia, selain kerap menangis dalam mimpi, dia juga mudah terasa dan lebih sensitif berbanding dahulu.
“Dia juga lebih banyak menyendiri berbanding bermain bersama-sama adik beradiknya. Jadi saya akan lihat kesesuaian untuk dia kembali bersekolah, dijangka pada bulan depan,” ujarnya.
Siti Suhana menegaskan keluarganya akan meneruskan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang telah membuli anaknya ketika berada di sekolah.
“Walaupun keluarga pesalah serta pihak sekolah telah datang melawat, namun saya tetap dengan keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah.
“Ini kerana insiden buli itu telah meninggalkan kesan mendalam terhadap Izzul dan kami sekeluarga. Tindakan perlu diambil walaupun pesalah merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun,” tegasnya.
Pada masa sama, dia memberitahu Izzul kini masih dalam pemantauan pihak hospital selain perlu mendapatkan rawatan susulan seminggu sekali.
“Ini kerana selain rawatan akibat gegaran otak, Izzul turut menghidap masalah hidung serta saluran pernafasan kronik dan telah menjalani sehingga lapan pembedahan sejak tahun 2022 lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang melawat Izzul Islam menyampaikan sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 kepada keluarganya.
Mas Imran berkata, pihaknya berharap sumbangan disampaikan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan dan mendoakan Izzul Islam segera sembuh.
Sebelum ini, Izzul Islam didakwa menjadi mangsa buli dalam dua kejadian berasingan pada Februari lalu dan awal bulan ini, di dua sekolah di daerah ini.
Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami masalah gegaran otak akibat kejadian buli berkenaan. – MalaysiaGazette
















