KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron ketika tempoh persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bermula pada 25 hingga 31 Ogos ini di kawasan Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed menegaskan, Putrajaya merupakan kawasan larangan menerbangkan dron tanpa kebenaran pihak berkuasa sepanjang tempoh persiapan dan ketika sambutan berlangsung selaras dengan peraturan keselamatan sedia ada.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang ingkar berdasarkan Peraturan 143, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta Seksyen 206(3) peraturan yang sama.
“Larangan ini bagi menjamin keselamatan orang awam serta memastikan kelancaran acara sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sebagai sebahagian daripada istiadat rasmi sambutan pada dua tarikh iaitu dua das ketika raptai penuh diadakan pada 29 Ogos dan 14 das ketika sambutan berlangsung pada Ahad nanti.
Sehubungan itu katanya, penduduk sekitar Putrajaya dinasihatkan tidak panik atau cemas apabila mendengar tembakan tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada acara rasmi sambutan Hari Kebangsaan.
Manakala orang ramai yang ingin hadir ke sambutan dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
“Penganjur turut menyediakan kemudahan pengangkutan alternatif seperti ‘shuttle bus’ dan ‘water taxi’ bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata Aidi Sham.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di 03-8886 2222 atau menghubungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















