KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi, Zarina Anjoulie tampil menafikan tuduhan video bersama individu dikenali sebagai Hot Daddy atau Daddy Ash dalam laman berbayar Telegram merupakan konten lucah seperti didakwa segelintir pihak.
Zarina atau mesra dipanggil Anju menegaskan, pautan dikongsikan dalam aplikasi dinyatakan tiada kandungan aksi panas melainkan hanya aktiviti harian ketika terserempak rakannya itu di Bali, Indonesia baru-baru ini.
“Bukan konten lucah ya. Kita orang Islam kan bang, tak sokong benda begitu. Lagi pun, saya janda anak satu. Anak sekolah agama, saya tak buat macam itu.
“Kita orang Islam, tahu benda itu haram. Takkanlah saya nak buat,” katanya menerusi perkongsian Instagram menjawab mesej langsung (DM) netizen.
Daddy Ash atau nama sebenarnya Ikhwan Arif Zul Hasil pernah terpalit kontroversi dengan tiga wanita apabila di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dalam aplikasi X, awal tahun lalu.
Mengulas lanjut, ibu tunggal anak satu berusia 37 tahun itu menambah, sekiranya benar dia menjual konten panas sudah tentu tawaran dihebahkan bukan pada kadar semurah itu.
Menerusi hantaran lain, Anju menjelaskan lagi hal pertemuan dengan lelaki terbabit yang berlaku secara kebetulan ketika dia ke Bali mempromosikan produk namun disalah ertikan perkongsian dibuat.
“Sampai di Bali saya terserempak dengan sahabat yang mungkin kalian pun kenal, Daddy Ash. Individu yang kalian tahu aktiviti dia tapi untuk isu viral ini, saya tak terlibat langsung dengan apa yang didakwa.
“Macam saya cakap, tujuan utama ke sana hanyalah untuk kerja ambil gambar dan konten cantik bersama Sylvia Secret. Macam biasa, bila terserempak dengan mereka, saya suka buat posting di Instagram.
“Tanpa tanya saya, tanpa fikir panjang, kalian pula terus tularkan macam-macam cerita sampai ada yang tanya mana link Telegram, nak langgan la, apa la,” ujarnya.
Ujarnya lagi, tujuan lain berkongsi hantaran dengan Daddy Ash adalah untuk menyampaikan maklumat lebih menyeluruh tentang produk palsu yang masih wujud.
‘Telegram yang saya buat itu pun kerana ramai yang minta. Tapi nak saya sekali lagi jelaskan tiada langsung hantaran video yang macam kalian maksudkan.
“Disebabkan kalian nak tahu sangat, saya pun buat satu saluran Telegram khas tapi di situ tiada langsung video porno atau perkara kotor seperti diperkatakan.
“Apa yang ada hanyalah aktiviti harian saya sepanjang berada di Bali, pergi gim, jalan-jalan dan memasak. Itu sahaja,” katanya.
Terdahulu hantaran videonya bersama individu yang pernah terpalit kontroversi itu dengan tiga wanita mengundang kecaman.
Malah tindakan pelakon terbabit berbaring di sisi lelaki berkenaan turut meraih teguran agamawan apabila disifatkan mempromosikan maksiat. – MalaysiaGazette
















