Raja Sara Petra

KUALA LUMPUR – Kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dalam menyuarakan pelbagai isu melibatkan DAP telah membangkitkan semangat akar umbi yang selama ini memilih untuk berdiam diri, kata Exco Pergerakan Puteri UMNO, Raja Sara Petra

Beliau yang juga anak kepada blogger terkenal, Allahyarham Raja Petra Kamarudin, berkata, keberanian Akmal hakikatnya mewakili sentimen sebenar ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Ramai sebenarnya ahli UMNO yang tidak selesa dengan DAP, tetapi kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri. Sebab itu pendirian Akmal begitu penting, beliau bersuara lantang tentang perkara yang selama ini hanya dibisikkan di kedai kopi dan surau,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, isu bendera yang dibangkitkan Akmal bukan lagi sekadar soal sehelai kain sebaliknya telah berkembang menjadi simbol maruah ahli UMNO.

Katanya, pertembungan yang tercetus kini bukan lagi antara sayap Pemuda UMNO dan DAPSY tetapi telah melebar kepada UMNO dengan DAP secara keseluruhan.

“Apa yang bermula dengan bendera telah menjadi lambang kepada kemarahan akar umbi UMNO yang berasa terhina dan dipaksa tunduk kepada DAP.

“Mungkin inilah sebenarnya pertarungan yang dinanti-nantikan oleh akar umbi sejak sekian lama,” katanya.

Beliau menambah, keberanian Akmal dalam mempertahankan pendirian itu telah menukar rasa kecewa menjadi perjuangan terbuka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast