KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan menyalurkan dana tambahan RM100 juta kepada Palestin menerusi Konvoi Sumud Nusantara termasuk beberapa negara termasuk dari ASEAN ke Gaza pada 31 Ogos dan 4 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana itu merupakan langkah permulaan selain meminta syarikat-syarikat besar supaya prihatin dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
“Rakyat dan saya, sebagai rakyat Malaysia bersama dengan rakyat lakukan apa yang belum lagi kita lakukan, bawa yang uzur yang sakit dengan dua pesawat kita sudah bawa.
“Kebanyakannya sudah dirawat dan sudah pulang (Gaza), anak-anak di sini tertinggal, bagi dia peluang pelajaran, kemudahan dan bantuan kita terus kirim.
“Tak cukup dana, malam ini saya umumkan bagi pihak Kerajaan Madani, kita telah luluskan dua tahun lalu RM100 juta, malam ini saya isytiharkan, Kerajaan Malaysia akan beri dana RM100 juta lagi sebagai permulaan.
“Saya minta rakyat, syarikat-syarikat, pedagang-pedagang banyak kaya-raya, ingat negara ini bebas dan aman sentosa, belajarlah daripada itu,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka malam ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhar; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Anwar juga melahirkan rasa kesal apabila banyak bantuan kemanusiaan yang disalurkan syarikat-syarikat tempatan gagal disampaikan kepada rakyat Palestin kerana kekejaman Israel.
“Saya akan minta rakan-rakan daripada syarikat negara kita untuk turut prihatin, mereka telah bantu sebelum ini, ada yang bagi pelbagai bantuan tetapi dengan Zionis Israel, sampai rosak dan busuk barang, apa jenis manusia ini.
“Ini bukan manusia, ini haiwan, ramai orang lapar, mati kebuluran, barang di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat, ubatnya di pagar, tidak boleh masuk.
“Manusia paling teruk pun tak seperti ini, saya umur 78, saya tak pernah baca dan dengar di zaman baharu ini, manusia sekejam itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















