Polis menahan seorang pemuda dan menyita kereta dalam operasi di Lebuh Medini Utama, Iskandar Puteri, awal pagi tadi.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki selepas terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di Lebuh Medini Utama di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mereka ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD).

“Operasi ini dilakukan setelah pihak polis menerima maklumat berhubung kegiatan lumba haram membabitkan kereta yang ubah suai di kawasan berkenaan.

“Hasil risikan, kita berjaya menahan dua kereta yang telah diubah suai bersama-sama dua lelaki berusia antara 22 hingga 25 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu kedua-dua kereta terbabit turut disita bawah Seksyen 64 akta sama.

Operasi berkenaan diadakan bagi memastikan keselamatan dan kententeraman awam di daerah ini sentiasa terjamin.

Menurut Kumarasan, operasi seumpama itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan lumba haram.

“Pihak polis juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan atau lumba haram.

“Ia jelas mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast