KULAI – Satu sistem yang membolehkan amaran bencana dihantar terus kepada penduduk tanpa melalui perkhidmatan syarikat telekomunikasi sedang dikaji untuk dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, menerusi sistem itu notifikasi amaran bencana akan dihantar terus kepada penduduk di lokasi kejadian dengan lebih cepat berbanding melalui sistem pesanan khidmat ringkas (SMS).
“SKMM akan membangunkan satu sistem supaya pada masa akan datang, SKMM boleh menghantar amaran mengikut lokasi yang berdepan bencana.
“Sekarang ini kita perlu bergantung kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi untuk hantar SMS, tetapi akan datang, SKMM tengah kaji nak bangunkan perkhidmatan boleh hantar terus notifikasi selepas SKMM terima maklumat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung satu-satu bencana yang berlaku.
“Usaha membangunkan sistem amaran bencana ini sudah dicadangkan dan diharap dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di sini, hari ini.
Nie Ching berkata, amaran bencana yang dihantar menggunakan SMS dan melalui syarikat telekomunikasi dilihat akan mengambil sedikit masa dan tidak tertumpu pada kawasan terjejas.
“Bila guna SMS, kita rasa macam cepat, tetapi bila ramai yang perlu terima mesej itu, ia tetap akan jadi ‘queue’ dalam sistem syarikat telekomunikasi itu, jadi ambil masa,” ujar Ahli Parlimen Kulai itu.
Jelasnya, sistem baharu itu akan menghantar notifikasi dan tidak perlu melalui sistem syarikat telekomunikasi.
Sistem berkenaan katanya, sudah diguna pakai di banyak negara termasuk Jepun.
“Kemudian kita akan terus fokus pada lokasi yang kita terima maklumat daripada NADMA, jadi notifikasi itu dapat dihantar dengan cepat ke kawasan itu. Kita lihat ia sangat berkesan dan berguna,” katanya.
Terdahulu, gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi, manakala gegaran gempa bumi lemah kedua bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang pada pukul 9 pagi hari ini.
Nie Ching berkata, tiada sebarang aduan berhubung gangguan telekomunikasi diterima susulan bencana gempa bumi di dua daerah berkenaan.- MalaysiaGazette
















