SHAH ALAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut dan seorang penghantar barang cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan tidak dikenali di Kilometer 1.2, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian 2.30 pagi, pelajar berusia 16 tahun itu yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda hilang kawalan lalu tergelincir dan jatuh di lorong tengah.
“Ketika kejadian, pelajar tingkatan empat itu dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Klang sebelum motosikalnya hilang kawalan.
“Penghantar barang yang lalu di tempat kejadian berhenti dan membantu pelajar tesebut namun tiba-tiba sebuah kereta tidak dikenali datang dari arah sama melanggar kedua-duanya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas Iqbal, kemalangan tersebut menyebabkan pelajar sekolah itu maut di tempat kejadian manakala penghantar barang itu cedera parah di bahagian kepala.
“Lelaki berusia 22 tahun itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut di zon merah, wad kecemasan,” katanya.
Iqbal juga menggesa orang yang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851 sekiranya mempunyai maklumat.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















