PASIR GUDANG – Polis menahan dua pengawal keselamatan menyamar sebagai anggota polis dan mengugut sepasang kekasih yang sedang berdua-duaan dalam kereta di Kota Masai di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 tahun itu didapati memeras ugut pasangan berkenaan RM2,000.
“Kedua-dua suspek sudah ditahan polis. Siasatan mendapati seorang daripadanya mempunyai empat rekod dadah manakala seorang lagi ada satu rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette
















