JOHOR BAHRU – Orang ramai tidak perlu bimbang dengan dua kejadian gempa bumi di negeri ini pagi tadi kerana gegarannya berlaku dalam pada magnitud lemah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
Beliau memberitahu, gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer (KM) telah berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi.
“Lokasi kejadian adalah pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira 5 km Barat Segamat. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Kejadian ini turut dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
“Selain itu, gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 telah direkodkan pada pukul 9 pagi di kawasan Yong Peng, Johor iaitu kira-kira 28 km barat laut Kluang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, berdasarkan analisis Met Malaysia, kedua-dua kejadian gempa bumi tersebut berlaku di Zon Sesar Mersing.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan itu serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.- MalaysiaGazette
















