KOTA TINGGI – Johor melancarkan Kempen Anti-Buli Peringkat Negeri secara serentak di 1,196 sekolah seluruh Johor hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, tujuan program tersebut bagi memastikan negeri ini menjadi ‘safe zone’ untuk para pelajar menimba ilmu.
Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama rapat pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Usaha ini bukan sahaja digerakkan di sekolah menengah dan rendah, malah sekolah agama serta institusi di bawah portfolio kerajaan negeri.
“Malah bukan sahaja sekolah, agensi kerajaan juga saya nampak telah membantu bersama-sama dalam membantu menjayakan kempen ini.
“Ini termasuklah kerjasama dengan PBT yang mana kalau kita dapat lihat di jalan raya LED (papan iklan elektronik), iklan-iklan telah diletakkan untuk kempen anti buli ini.
“Saya harap kempen ini dapat berterusan dapat memberi penerangan yang jelas kepada anak-anak pelajar kita kesan negatif terhadap aktiviti buli ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Program Kempen Anti-Buli Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengerang Utama, di sini, hari ini.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, setiap sekolah akan menerima kehadiran pemimpin-pemimpin dalam negeri ini bagi menyampaikan ucapan khas Menteri Besar Johor sebagai simbolik sokongan terhadap usaha membanteras buli.
Tambahnya, Jawatankuasa Khas Anti Buli negeri juga telah ditubuhkan bagi memantau perkembangan serta keberkesanan kempen ini dari semasa ke semasa.
“Kempen ini tidak bermusim, ia akan diteruskan secara berterusan. Kita mahu pelajar faham kesan buli dan pada masa sama memastikan pelaku dibimbing supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.
“Kerjasama dengan PDRM melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS) juga diperkukuh. PPS akan memberi taklimat kepada pelajar mengenai kesan dan implikasi undang-undang jika terlibat dalam buli,” katanya.
Beliau yakin langkah menyeluruh itu akan meningkatkan kesedaran serta membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat untuk anak-anak Johor.- MalaysiaGazette
















