Mohd Jafni ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Hotel Impiana, Kulai, hari ini.

KULAI – Johor sedia menimbang untuk penggunaan sistem amaran awal bencana, termasuk gempa bumi menerusi integrasi peranti khas dalam indikator Smart City negeri itu pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, namun setakat ini kerajaan negeri masih belum membincangkan secara terperinci cadangan berkenaan.

“Ia akan dilihat sebagai satu keperluan untuk keselamatan rakyat. Dalam sistem indikator ‘Smart City’, kita memang ada letakkan elemen amaran kecemasan.

“Sebagai contoh semasa lawatan kerja ke Korea baru-baru ini, kita lihat bagaimana rakyat di negara itu menerima mesej amaran terus ke telefon pintar masing-masing sekiranya berlaku bencana.

“Ini seperti kebakaran atau kemalangan dalam radius tertentu. Sistem sebegini sudah lama dipraktikkan di Jepun dan Korea,” katanya dalam sidang akhbar ketika berucap Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Hotel Impiana di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia menimbang kaedah terbaik bagi memberi amaran segera kepada penduduk sekiranya berlaku bencana alam.

Mengenai insiden gegaran ekoran gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat dan Kluang semalam, Mohd Jafni memaklumkan setakat ini tiada laporan kerosakan teruk bangunan berlaku.

“Saya dimaklumkan ini adalah kejadian kali pertama di Segamat mengalami kesan gegaran, jadi kita perlu lihat bagaimana untuk menambah baik persediaan,” katanya.

Kerajaan negeri ujarnya, sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah kerosakan dan nilai kerugian disebabkan bencana tersebut.

Mohd Jafni berkata, gegaran gempa bumi yang dilaporkan berlaku pada pukul 6.13 dan pukul 9 pagi itu disifatkan sebagai gegaran yang lemah.

“Ini adalah pertama kali, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesan berlaku gegaran gempa bumi lemah di dua daerah ini. Kita akan lakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.

Semalam, gempa bumi lemah dengan magnitud 4.1 melanda Segamat puul 6.13 pagi sebelum gegaran kedua pukul 9 pagi.

Sementara gegaran berukuran 2.8 magnitud dilaporkan di Yong Peng pada pukul 9 pagi hari yang sama.

Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast