KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperketat pemantauan terhadap kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, menikmati liputan yang memuaskan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan dengan audit kualiti dilaksanakan di seluruh negara.
“MCMC menjalankan audit kualiti secara berkala bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemberi perkhidmatan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang telah ditetapkan,” katanya.
Nie Ching berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanya apakah kaedah pemantauan dan penalti yang dikenakan Kementerian terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberi liputan memuaskan khususnya di kawasan luar bandar.
Menjawab soalan itu, Nie Ching berkata, lokasi audit dikenal pasti berdasarkan aduan pengguna dan data pengujian orang awam yang menunjukkan keputusan di bawah piawaian MSQoS.
Berdasarkan hasil audit tahun 2024, sebanyak 268 Arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan kerana ketidakpatuhan.
“Pemberi perkhidmatan yang terlibat diwajibkan melaksanakan penambahbaikan kualiti di kawasan terbabit berdasarkan Arahan Suruhanjaya yang telah dikeluarkan,” jelasnya.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 2,781 ujian kualiti dijalankan di seluruh negara.
Tambah Nie Ching, daripada jumlah itu, 1,684 ketidakpatuhan MSQoS dikesan melibatkan 815 lokasi, dan sehingga kini sebanyak 462 kes telah berjaya diperbaiki.
“Baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naiktaraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama,” katanya.
Beliau menegaskan, MCMC akan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan.
“Ketidakpatuhan Arahan Suruhanjaya merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen 53 Akta 588,” ujarnya.
Selain itu, syarikat telekomunikasi yang gagal mematuhi arahan juga boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM500,000 mengikut subseksyen 105(5) Akta 588.
Justeru, pengguna digalakkan membuat aduan terus kepada pemberi perkhidmatan, dan jika tidak diselesaikan, mereka boleh mengemukakan aduan kepada MCMC melalui portal rasmi.
Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat lokasi yang mengalami masalah liputan melalui aplikasi MCMC NEXUS.
“Ujian yang menunjukkan kelajuan muat turun di bawah 10 Mbps secara konsisten akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk disiasat.
“Sekiranya isu tersebut gagal ditangani, MCMC akan menjalankan audit MSQoS bagi memastikan tindakan penambahbaikan dilaksanakan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















