Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR – Seramai 215 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan OP Noda yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 22 dan 23 Ogos yang lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua tangkapan yang berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun itu terdiri daripada warga Thailand (76), Indonesia (35), Vietnam (65), Myanmar (28), China (lima), Kemboja (empat) dan Laos (dua).

Menurut beliau operasi yang dilaksanakan melalui Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) JSJ Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen menumpukan premis-premis pusat hiburan tanpa lesen.

Kataya, sejumlah 87 premis pusat hiburan di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi itu yang mana 66 premis didapati tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.

Polis juga katanya turut menahan pemilik premis, pekerja dan pelanggan.

“PDRM menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan didaftarkan.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 iaitu berkaitan penjualan minuman keras tanpa lesen; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh masa; Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah; Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI); Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan; dan Enakmen Hiburan/ Ordinan Hiburan Negeri. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast