Azizi Safar

GEORGE TOWN – “Retak Barisan Nasional (BN) kini menunggu belah.”

Keadaan itu digambarkan oleh pemerhati politik, Azizi Safar yang mengulas pergolakan terbaharu membabitkan MCA, MIC dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, ketegasan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu “tidak pernah berhasrat” untuk bekerjasama dengan MCA adalah tamparan paling keras terhadap parti komponen BN itu.

“Lebih tajam, Anthony menyifatkan penolakan MCA terhadap DAP sebagai tidak berasas, malah menyindir MCA supaya menyelesaikan masalah secara dalaman, bukannya melalak dengan kenyataan media yang defensif dan dramatik.

“MCA yang semakin lantang menyuarakan rasa terpinggir kini hanya berpegang kepada komitmen yang diberikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terhadap DAP.

“Ini meletakkan Zahid dalam kedudukan paling serba salah dan MCA dan MIC, beliau dilihat lebih mesra PH berbanding menjaga keharmonian dalaman BN. Dilema ini cukup besar dan mampu merombak semula peta politik gabungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azizi, MIC pula semakin hampir ke pintu keluar BN selepas beberapa peringkat negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan terbaru Selangor, meluluskan usul mahu meninggalkan gabungan itu.

“MIC sudah muak dengan layanan dingin UMNO dan kecewa dengan janji Kabinet yang tidak ditepati. Kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan ibarat tetamu yang tidak diundang,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sikap dingin DAP terhadap MCA dan MIC, ditambah langkah MIC yang sudah mula berbincang dengan Perikatan Nasional (PN), membuktikan persoalan besar sedang menghantui BN – adakah ia masih relevan atau sekadar tinggal nama tanpa roh politik?

“Jika retakan ini tidak ditangani segera, BN bukan sahaja berisiko hilang pengaruh malah bakal berpecah dari dalam. DAP mungkin tidak perlukan MCA, tetapi MCA dan MIC perlukan BN untuk menentukan hala tuju jelas. Zahid mesti memilih – menjaga rakan lama atau terus mendakap rakan baru.

“Apa yang berlaku bukan sekadar perbalahan dalaman. Ini isyarat jelas bahawa gabungan lama sedang diuji, gabungan baru sedang terbentuk sekali gus sejarah sedang ditulis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast