Muhammad Affan Al Fateh yang baru berusia lapan bulan perlu melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai pembedahan anak tunggalnya yang mengalami masalah saluran pernafasan sempit dan masalah kesihatan lain sejak dilahirkan.

Mohd Afizul Matlin, 34, yang bekerja sebagai penghantar barang (P-Hailing) tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan pembedahan anak lelakinya, Muhammad Affan Al Fateh yang baru berusia lapan bulan.

Menceritakan kepada MalaysiaGazette mengenai dugaan yang dialami, Mohd Afizul berkata, dia diberi dugaan berat apabila cahaya matanya diuji dengan masalah kesihatan yang antara lain menghadapi kesukaran bernafas.

Muhammad Affan Al Fateh disahkan menghidap Trakea Stenosis, satu keadaan jarang berlaku di mana saluran pernafasan utama terlalu sempit menjadikannya sukar menarik setiap nafasnya.

“Seolah-olah penderitaan itu belum cukup, Muhammad Affan turut disahkan mengalami Omfalokel (kecacatan dinding abdomen yang menyebabkan organ dalaman terkeluar) serta turut mengalami komplikasi serius pada usus.

“Kedua-dua keadaan ini memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Menurut Mohd Afizul, anaknya kini terpaksa bergantung hidup dengan menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang masa dan hanya minum susu khas menggunakan tiub melalui hidung.

Ujarnya, bayinya itu juga tidak boleh menangis terlalu lama atau ketawa seperti bayi lain kerana setiap saat ia dibimbangi akan membawa risiko kehabisan nafas.

Namun di sebalik kesakitan itu kata beliau, Muhammad Affan masih mampu menghadiahkan senyuman kecil buat mereka dan ia menjadi sumber kekuatan walaupun hati mereka luluh setiap kali melihat tubuh kecil itu bergantung sepenuhnya pada mesin untuk terus hidup.

Mohd Afizul menjelaskan, doktor yang merawat anaknya berkata, bagi memberi peluang kepada Muhammad Affan menjalani kehidupan yang normal – dua pembedahan besar perlu dilakukan – pembedahan trakeoplasti bagi membesarkan saluran pernafasannya dan pembedahan jantung bagi membetulkan keadaan organ itu yang tidak berfungsi sempurna.

Kos keseluruhan rawatan untuk kedua-dua pembedahan dianggarkan mencecah RM120,000 dan ia satu jumlah yang jauh di luar kemampuan mereka.

Isterinya, Disria Solo, 33, yang sebelum ini bekerja terpaksa berhenti untuk menjaga Affan sepenuh masa dan kini hanya suaminya sahaja yang mencari nafkah dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Kami telah berusaha sedaya upaya, tetapi kami tidak mampu melaluinya tanpa bantuan. Affan perlu bernafas secara normal, bermain dan membesar seperti anak-anak lain,” luah ayah Mohd Afizul dalam nada sayu.

Mohd Afizul dan isterinya, Disria Solo bergambar bersama cahaya mata mereka Muhammad Affan Al Fateh.

Tambahnya, dia hanya mampu berharap kepada keprihatinan masyarakat dan setiap sumbangan akan memberi mereka harapan  melihat Affan membesar tanpa tiub dan mesin serta peluang untuk anak kecil itu terus hidup.

Muhammad Affan perlu melakukan pembedahan yang dijadualkan pada 24 September ini namun jumlah perbelanjaan bagi tujuan tersebut masih belum mencukupi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke akaun CIMB Bank Mohd Afizul Matlin 7611959263 atau menghubunginya di nombor 016-825 3637 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast