PENDANG – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika memikat burung di kawasan Bukit Tok Chom, Mukim Padang Kerbau di sini, hari ini.
Mangsa warga tempatan berusia 53 tahun itu dilaporkan melecur pada bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 9.55 pagi daripada seorang penduduk kampung.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah yang diubah suai untuk memikat burung.
“Galah itu juga masih tersangkut pada kabel elektrik bervoltan tinggi,” katanya hari ini.
Menurut beliau, siasatan di lokasi tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dah hanya terdapat kesan melecur pada tubuh mangsa.
“Hasil maklumat daripada isterinya, mangsa keluar rumah sekitar jam 8.30 pagi dengan menunggang motosikal jenis Modenas Kriss untuk memikat burung,.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu tular beberapa gambar serta rakaman video memampatkan penduduk menemui mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik selain mencari empunya pemilik motosikal berhampiran mangsa. – MalaysiaGazette
















