KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Sabah menggesa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pemuda UMNO Pusat, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Ketuanya, Sufian Abd Karim berkata, tuduhan Lokman kononnya Dr. Muhamad Akmal mahu menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri disifatkan amat berat dan serius.
Malah, dakwa beliau, tuduhan itu juga boleh diklasifikasikan sebagai berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Dr. Muhanmad Akmal.
“Jika tiada sebarang permohonan maaf yang dilakukan oleh beliau kepada Dr. Muhamad Akmal, maka Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah tidak akan teragak-agak untuk memohon kepada pimpinan tertinggi parti agar beliau dikemukakan ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana telah melanggar Perlembagaan Parti Fasal 20.9,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah klip video temu bual Lokman tular di media sosial memaparkan beliau secara sengaja menggelar Muhamad Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’ dan menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Sufian berkata, Pemuda UMNO Sabah berpendapat budaya tidak sihat seperti fitnah serta menyerang kepimpinan parti perlu dibendung untuk memastikan supaya tidak berlakunya perpecahan dalam kalangan ahli dalam parti itu sendiri. – MalaysiaGazette
















