100 ahli gabungan NGO mengenakan pakaian serba hitam berarak dari Dewan Jubli Intan Pontian ke bangunan MPPn di Pontian hari ini

PONTIAN – Sebanyak 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) hari ini.

Memorandam tersebut diserahkan oleh wakil NGO, Mohd Fauzi Abdul Rahman kepada YDP MPPn, Abdul Azim Shamsuddin di Bangunan MPPn kira-kira pada pukul 10.30 pagi.

Memorundum tersebut merupakan sokongan terhadap tindakan tegas dan segera diambil PBT berkenaan dalam menangani isu bendera Johor dan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik membabitkan sebuah pasar mini dan klinik gigi swasta di sini.

Sebelum itu kira-kira 100 ahli gabungan NGO berkenaan yang mengenakan pakaian serba hitam berarak dari Dewan Jubli Intan Pontian ke bangunan MPPn dengan diawasi anggota polis.

Wakil gabungan NGO berkenaan, Mohamad Kasir Zainon berkata, memorandum sokongan itu memberi isyarat jelas bahawa masyarakat setempat berdiri teguh bersama MPP dan polis dalam isu Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik.

“Kami tidak mahu ada pihak lain cuba campur tangan atau mempertikai tindakan undang-undang yang diambil.

“Isu ini bukan perkara remeh kerana ia menyentuh kedaulatan negeri dan boleh menggugat ketenteraman serta perpaduan masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Beliau menegaskan, tindakan MPPn berdasarkan lunas undang-undang bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Tindakan MPPn menutup 30 hari premis terlibat dalam insiden bendera Johor dan Jalur Gemilang terbalik dibuat berlandaskan lunas undang-undang dan lebih tegas berbanding pihak lain.

“Justeru, saya minta semua pihak menghormati proses ini dan diharap tiada campur tangan politik dalam isu ini.

“Jadikan perkara ini sebagai iktibar serta tidak lagi mengulangi kesilapan sama kerana bendera Johor dan Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast