KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada empat pertuduhan memuat naik video muzik Hari Raya oleh Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini.
Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan pertuduhan itu cacat di sisi undang-undang berikutan keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan perkataan ‘menjengkelkan’ dan ‘menghina’ dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sebagai tidak berperlembagaan.
Aliff Syukri yang hadir berpakaian sut coklat tidak dapat menahan air mata berguguran sejurus mahkamah mengumumkan beliau bebas daripada semua pertuduhan.
Pada Oktober 2022, artis kontroversi itu berdepan empat tuduhan memuat naik kandungan berunsur sumbang melalui akaun Instagram miliknya, aliffsyukriterlajaklaris, pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum ini, muzik video lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang memaparkan elemen komedi dikritik hebat netizen kerana dianggap tidak kelakar, sebaliknya aksi lembut sekumpulan penari lelaki dalam video berdurasi lima minit 23 saat itu menimbulkan kecaman kerana didakwa keterlaluan dan mencemarkan sambutan Aidilfitri. – MalaysiaGazette
















