Situasi di Hospital Nasser, Gaza

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza baru-baru ini.

Serangan pada 25 Ogos itu telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, termasuk anggota perubatan dan wartawan, serta mencederakan beberapa orang yang lain.

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia mengulangi pendirian tegas terhadap tindakan menyasarkan hospital, wartawan dan petugas kemanusiaan yang merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas melarang serangan ke atas fasiliti perubatan dan media.

“Tindakan ini merupakan jenayah perang dan tidak boleh dibiarkan tanpa dikenakan sebarang hukuman. Serangan yang menyasarkan wartawan bukan sahaja merupakan jenayah kejam terhadap nyawa yang tidak berdosa, malah juga satu serangan langsung terhadap kebebasan media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk segera bertindak dengan tegas bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel serta memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Malaysia juga katanya menggesa semua pihak untuk melipatgandakan usaha ke arah mencapai satu keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan, berasaskan hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast