MELAKA – Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerusi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program Simposium Jaringan anti Rasuah & Tadbir Urus Integriti (SEJATI) yang diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi MTUN, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penganjuran program SEJATI ini bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada warga universiti dan masyarakat tentang bahaya rasuah serta kepentingan membudayakan integriti dalam kehidupan seharian.
Ujarnya, landasan ini turut memperkukuhkan hubungan dan kolaborasi strategik UTeM MTUN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membenteras rasuah menerusi pelaksanaan program-program pendidikan, latihan serta penyelidikan berkaitan integriti.
“Ia mencerminkan komitmen UTeM dalam menyokong inisiatif kerajaan dan SPRM mewujudkan persekitaran kerja yang bebas rasuah dan salah guna kuasa,”
katanya.
Menerusi program SEJATI yang dihadiri seramai 3,000 orang yang terdiri daripada kalangan staf dan pelajar UTeM dan sebahagian daripada MTUN ini turut mendengar ucaptama dan perkongsian menarik daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Pada majlis yang sama turut dijayakan peluncuran Polisi Pemberian dan Penerimaan Hadiah, Tajaan & Keraian MTUN yang mana polisi ini menjadi panduan kepada seluruh rangkaian MTUN berhubung perkara berkenaan.
Majlis itu turut menyaksikan agenda penyerahan Surat Niat (LoI) yang merupakan hasrat kerjasama antara MTUN yang terdiri daripada UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama SPRM.
Selain itu, pra peluncuran Kor Sukarelawan Mahasiswa Anti Rasuah (SUAR) UTeM yang merupakan badan beruniform SPRM di UTeM dan ini menjadikan UTeM sebagai universiti ketiga di Malaysia yang menubuhkannya.
Sempena dengan itu, majlis turut diisi dengan pelancaran Bulan Kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat cintakan tanahair yang mana para peserta menyanyikan lagu kemerdekaan. – MalaysiaGazette
















