Paul Yong Choo Kiong.

PUTRAJAYA – Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong, meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan mendakwa dirinya tidak diberikan peluang perbicaraan yang adil susulan keputusan mahkamah membenarkan dua saksi memberi keterangan secara tertutup.

Peguamnya, Salim Bashir berhujah, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh ketika perbicaraan pada 2021 adalah bercanggah dengan prinsip keadilan kerana saksi utama, iaitu pembantu rumah warga Indonesia, serta seorang individu yang menemaninya ke balai polis, ditemu bual tanpa kehadiran tertuduh dan peguam bela.

Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat berlandaskan Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), namun peruntukan tersebut menurutnya bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman, peruntukan ini menjamin hak perbicaraan adil.

“Perayu (Yong) tidak mendapat hak penuh membela diri apabila keterangan saksi ditentukan secara tertutup.

“Nota prosiding serta alasan penghakiman bagi menyokong perlindungan saksi juga tidak pernah didedahkan kepada pembelaan,” hujah Salim di hadapan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Sri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut beliau, perlindungan di bawah undang-undang sepatutnya diberikan hanya dalam kes berprofil tinggi melibatkan isu keselamatan negara atau ancaman subversif, bukannya kes jenayah biasa seperti rogol.

Tambahnya, alternatif yang lebih wajar ialah perlindungan di bawah Seksyen 272B KTJ yang tidak menjejaskan hak pembelaan.

Seorang lagi peguam mewakili perayu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik pula membangkitkan isu kenyataan mangsa di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 7 Mac lalu, yang mana pembantu rumah itu mengaku mereka-reka keterangan kerana ingin pulang awal ke Indonesia sebelum tamat kontrak kerjanya.

Namun, kenyataan itu ditolak hakim sebagai bukti tidak boleh diterima kerana dianggap dengar cakap.

“Keterangan tersebut sepatutnya diterima dan kemudian dinilai pemberatnya oleh mahkamah. Menolak terus bukti itu adalah tidak adil kepada tertuduh,” hujahnya.

Rayuan Yong turut didengar oleh Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan keputusan kepada tarikh lain, manakala Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari dijadualkan menjawab hujahan pembelaan pada prosiding berikutnya.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan sabitan bersalah ke atas Yong kerana merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun di kediamannya di Ipoh pada malam 7 Julai 2019.

Kes itu kini memasuki peringkat terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya di Mahkamah Rayuan sebelum ini ditolak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast