Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas di Dewan Negara, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini merupakan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan mengehadkan kuasa pentadbiran dalam urusan perolehan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat dakwaan kononnya RUU itu memberi kuasa berlebihan kepada Menteri Kewangan, hakikatnya kuasa individu yang memegang jawatan itu sudah pun termaktub dalam Akta Tatacara Kewangan 1957.

Sebaliknya, jelas beliau, RUU baharu ini memperkenalkan elemen semak dan imbang yang lebih kukuh kerana keputusan perolehan termasuk oleh Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula serta Tribunal Rayuan Perolehan yang bersifat berkecuali.

“RUU ini juga memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali daripada kesalahan yang diperuntukkan.Contohnya, jika tidak menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, langkah penggubalan RUU Perolehan Kerajaan 2025 adalah kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), serta pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Akta ini berhasrat menangani ketirisan dan mengoptimumkan sumber negara supaya terus berupaya memacu pembaharuan ekonomi dan kualiti hidup rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast