JDT semasa beraksi menentang Kuching City FC, di Kuching, Sarawak Ahad lalu yang menyaksikan hanya mendapat satu gol. - Foto Facebook Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tidak mahu keadaan padang dijadikan alasan setiap kali diuji apabila beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, skuad Harimau Selatan perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang berbeza dan melihatnya sebagai cabaran dalam memburu kemenangan.

Jelasnya, faktor keadaan padang itu perlu menjadi ujian bagi memastikan corak permainan dan taktikal dapat diterjemahkan sebaik mungkin ketika beraksi.

“Ini adalah perlawanan di tempat lawan yang kedua buat JDT selepas berkunjung ke Sarawak bertemu Kuching City FC, Ahad lalu. Pada perlawanan itu, kami bergelut sebelum menang tipis 1-0.

“Bagi saya, pemain perlu bijak menyesuaikan diri dengan kondisi padang yang berbeza daripada Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini bagi memastikan JDT terus tampil konsisten dan melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.

Munoz berkata demikian bagi mengulas aksi JDT berdepan Imigresen FC di Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang esok.

Pada aksi di Stadium Negeri Sarawak, Ahad lalu, penyerang import, Jairo Da Silva muncul wira JDT apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi memastikan tiga mata berharga ketika berdepan Kuching City FC.

Ketika ini, kesebelasan JDT itu masih unggul selaku pendahulu Liga Super dengan rekod kemenangan bersih setelah mengharungi tiga perlawanan, manakala Imigresen FC pula masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.

Sementara itu, Munoz menegaskan kemenangan tipis ke atas Kuching City FC tempoh hari memberikan isyarat jelas bahawa skuad kendaliannya tidak boleh leka, sebaliknya perlu tampil lebih tajam khususnya di bahagian serangan.

Malah, Munoz turut mengakui skuad kendaliannya berdepan tentangan sengit pada perlawanan tersebut.

“Dalam perlawanan sengit, bukan mudah untuk mencipta peluang gol, oleh itu, setiap peluang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast