KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah meraikan 533 kakitangan dan pesara dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2025, sebagai bentuk penghargaan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam menjayakan agenda kecemerlangan universiti.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, penganugerahan ini adalah simbol penghargaan universiti terhadap dedikasi dan jasa kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan institusi.
“Setiap penerima anugerah adalah contoh teladan kepada warga UMS. Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi inspirasi untuk terus berkhidmat dengan integriti dan inovasi,” katanya.
Majlis berprestij tersebut meraikan penerima anugerah dalam lapan kategori utama, antaranya Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Sanjungan Budi, Anugerah Jasa Setia, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Inovasi, Anugerah Khas Naib Canselor dan kategori baharu, Anugerah Mutiara.
Majlis AKU 2025 dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Pada majlis tersebut, seramai 1,695 kakitangan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Terpuji (APT) berbentuk e-sijil kerana mencapai markah prestasi
tahunan 90 peratus dan ke atas.
Pusat Pengajian Pascasiswazah dinobatkan sebagai Johan bagi Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik manakala Pusat Alumni UMS menerima pengiktirafan
Johan Anugerah Transformasi Digital. – MalaysiaGazette
















