Antara wanita warga asing sebagai peneman ditahan JIM di sebuah pusat hiburan tiga tingkat di Puchong. Foto JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkarkan aktiviti sebuah pusat hiburan tiga tingkat di Puchong, Selangor yang menawarkan wanita warga asing sebagai ‘peneman’ pelanggan dalam satu serbuan Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan sekitar jam 9.15 malam itu melibatkan 25 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, JIM Putrajaya telah memeriksa seramai 187 individu.

“Hasil pemeriksaan, seramai 65 individu ditahan terdiri dari 16 lelaki warga Myanmar bekerja sebagai pelayan bar, 18 wanita Thailand, 17 wanita Vietnam, dua wanita Indonesia, enam wanita  Laos dan empat wanita Filipina yang berusia antara 20 hingga 55 tahun.

“Seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga pusat hiburan dan seorang wanita tempatan bertindak sebagai penjaga kepada kesemua warga asing itu turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara warga asing dan warga tempatan ditahan JIM di sebuah pusat hiburan tiga tingkat di Puchong. Foto JIM Putrajaya

 

Tambah beliau, premis terbabit menawarkan wanita warga asing sebagai tarikan utama bermula jam 7 petang hingga 3 pagi setiap hari kepada pelanggan dengan kadar bayaran RM150 hingga RM300 bagi tiga jam pertama.

“Premis terbabit beroperasi dalam suasana penuh gemerlapan dengan muzik yang rancak membuatkan pengunjung terus leka dan ketika serbuan, sebahagian mereka sedang rancak melayan pelanggan tempatan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen KLIA dan siasatan dijalankan dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala pemilik premis dikenaan tindakan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Antara 36 warga Bangladesh yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Shah Alam. Foto JIM Putrajaya

 

Sementara itu pada hari sama, pihaknya turut menyerbu sebuah kilang kitar semula yang menggajikan pekerja warga asing tanpa pas sah di kawasan perindustrian Shah Alam jam 2.35 petang berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, JIM telah memeriksa seramai 53 individu melibatkan 50 warga asing dengan tiga warga tempatan dan daripada jumlah itu, 36 warga Bangladesh telah ditahan berusia antara 35 hingga 50 tahun.

“Kesemua disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kita turut memeriksa seorang lelaki warga Bangladesh yang memegang pas Malaysia My Second Home (MM2H) yang masih sah kerana berada dalam kawasan kilang dalam keadaan mencurigakan,” ujarnya.

Sebuah kilang di kawasan perindustrian Shah Alam yang menggajikan warga asing. Foto JIM Putrajaya

 

Berikutan itu katanya, sebanyak tiga Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan kepada warga tempatan dan seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan manakala kesemua tangkapan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, lebih masa atau menyalah guna pas di negara ini dan tindakan tegas akan dimabil tanpa sebarang tolak ansur,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast