Mohamad Fazli melihat jentera Pothole Pro JCB dalam Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Jalan di Persiaran Laksamana, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor adalah yang pertama di Asia Pasifik menggunakan teknologi dua jentera Pothole Pro JCB dengan kos RM3.2 juta untuk membaiki dan menyelenggara lubang-lubang jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, menerusi teknologi baharu dari United Kingdom (UK) itu kerja-kerja pembaikan jalan akan menjadi lebih cepat dan tahan lama.

“Kerja-kerja menampal jalan berlubang menggunakan teknologi baharu dengan dua jentera potholes pro JCB akan lebih cepat empat kali ganda berbanding biasa dengan kaedah konvensional.

“Kalau menggunakan teknologi sebelum ini masa yang diambil untuk menampal jalan kira-kira satu jam tetapi menggunakan teknologi baharu ini hanya setengah jam selain 90 peratus lebih tahan daripada teknologi lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Jalan di Persiaran Laksamana, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Katanya, penggunaan teknologi baharu itu yang diperkenalkan Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd juga menjimatkan tenaga kerja dan masa dengan tumpuan pembaikan di jalan-jalan bawah negeri sama ada rosak akibat banjir atau selepas musim hujan.

Ketika ini ujarnya, terdapat dua jentera JCB dan akan menambah bilangannya pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal dengan sasaran zero pothole sepanjang masa walaupun kerosakan jalan sering berulang akibat faktor cuaca, banjir dan kerosakan infrastruktur bawah tanah.

“Sejak tahun lepas kita letakkan sasaran zero pothole. Sebab itu kita perlukan teknologi baharu untuk menyokong aspirasi ini,” katanya.

Teknologi itu juga katanya, mendokong keperluan asas bagi merealisasikan pembangunan Zon Ekonomi Istimewa Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memerlukan infrastruktur jalan raya berprestasi tinggi bagi menyokong mobiliti ekonomi dan pelaburan.

Terdapat 6,000 aduan jalan-jalan yang rosak pada setiap bulan dan inovasi jentera JCB Pothole Pro itu berpotensi memberikan impak besar untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Johor.

Selain itu, inovasi itu juga sesuai bagi pelaksanaan di kawasan jalan dengan keadaan trafik yang tinggi dan juga kaedah pembaikan pada skala besar.

Inovasi tersebut juga dapat meningkatkan keselamatan terhadap pengguna jalan raya dan penggunaannya amat selaras dengan hala tuju kerajaan negeri untuk menjadi negeri maju dan berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast