JOHOR BAHRU – Persatuan Memanah Negeri Johor sudah mengenal pasti atlet berpotensi bagi mewakili negeri ini dalam acara memanah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, senarai pendek atlet yang terpilih itu akan diumumkan pihak persatuan dan dibawa ke Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) terlebih dahulu.
Beliau berkata, Johor sudah bersedia dengan gabungan atlet lama dan baharu bagi menggalas cabaran di SUKMA tahun depan.
“Kita dah kenal pasti atlet berpotensi wakil negeri. Tapi senarai masih panjang, nanti bila sudah ada senarai pendek, kita akan umumkan.
“Kita yakin kali ini kita dapat membawa pulang lebih banyak pingat,” katanya ditemui selepas merasmikan Kejohanan Memanah Kebangsaan Siri 3 2025 di Lapang Sasar Memanah, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor, Mohd Shukri Masbah.
Beliau menambah, pihaknya menyasarkan tiga emas dalam acara memanah pada SUKMA 2026 selepas membawa pulang satu emas ketika SUKMA 2024 di Sarawak.
Sementara itu, Pandak berkata, Persatuan Memanah Negeri Johor bakal menganjurkan Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor (JIAT) pada akhir bulan depan.
Menurutnya, kejohanan itu akan menyaksikan penyertaan pemanah seluruh dunia terutamanya dari negara Asia Tenggara selain Jepun, Korea dan China.
“Ini kali ketiga kita anjurkan kejohanan peringkat antarabangsa. Kita dalam usaha nak menjadikan kejohanan ini sebagai satu acara yang berprestij di negara kita,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















