Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai perubatan berputih mata selepas rugi RM2.6 juta akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga 15 peratus.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun mendakwa mula terjebak dengan iklan pelaburan saham dalam media sosial pada 25 Mei lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudian menekan pautan dan berhubung dengan suspek sebelum menawarkan pelaburan melalui sebuah syarikat luar negara dengan pulangan antara lima hingga 15 peratus bagi setiap jumlah wang dilaburkan.

“Mangsa juga diarahkan memuat turun sebuah aplikasi di telefon pintar kononnya untuk memantau pelaburannya.

“Terpedaya dengan janji keuntungan segera, mangsa membuat 56 transaksi pindahan wang berjumlah RM2,603,900 ke lapan akaun bank berbeza antara 25 Mei hingga 8 Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, namun mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran wang melalui aplikasi berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam.

Ab Rahaman berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko atau ‘pasti untung’.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast