Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke 13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir tujuh tahun, Dewan Rakyat akhirnya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang membuka lembaran baharu kepada jutaan pekerja dalam sektor yang selama ini beroperasi tanpa perlindungan undang-undang yang jelas.

Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong berkata, kelulusan itu adalah hasil perjuangan panjang sejak isu pekerja gig mula mendapat perhatian pada 2018, ketika ekonomi digital berkembang pesat dan ribuan anak muda bergantung kepada pekerjaan melalui aplikasi penghantaran, e-hailing dan platform digital lain.

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat dari sudut kepentingan syarikat korporat semata-mata. Ia diwujudkan untuk memberi pembelaan kepada pekerja gig, sambil memastikan daya saing ekonomi negara tidak terjejas,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, beliau memahami kegusaran syarikat-syarikat korporat yang bimbang peraturan baharu akan menambah kos operasi.

Namun katanya, undang-undang perlu seimbang bagi memastikan pekerja tidak terus dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial sementara syarikat pula masih boleh berdaya maju.

Beliau turut menjelaskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) tidak bercanggah dengan RUU ini, kerana kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza.

“RUU ini khusus mengenai perlindungan perburuhan, termasuk isu kontrak, keselamatan sosial dan penyelesaian pertikaian.

“Manakala SEGiM pula masih dalam proses kajian sebagai badan yang mengatur hala tuju ekonomi gig secara lebih menyeluruh. Jawatankuasa kajiannya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” jelasnya.

Menjawab dakwaan pembangkang bahawa RUU ini tiada mekanisme penguatkuasaan, Sim menegaskan,  perkara itu tidak benar malah kerana beberapa agensi sedia ada telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan undang-undang baharu ini.

“Kita ada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Tribunal Pekerja Gig serta PERKESO. Semua ini adalah agensi penguat kuasa yang berkuasa penuh. Jadi, tidak betul kalau kata tanpa SEGiM, tiada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 telah dibentangkan setelah melalui beberapa fasa libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk kesatuan pekerja, platform digital, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik.

Sepanjang proses itu, banyak kritikan dilemparkan terutama oleh syarikat yang bimbang kos operasi meningkat namun akhirnya kerajaan memutuskan kepentingan pekerja gig tidak boleh terus diketepikan.

Menurut rekod Kementerian Sumber Manusia, terdapat lebih 1.2 juta rakyat Malaysia terlibat dalam pekerjaan gig secara aktif, sama ada sebagai pemandu e-hailing, penunggang penghantaran makanan atau bekerja dalam platform perkhidmatan bebas.

Majoriti daripada mereka tidak mempunyai caruman keselamatan sosial, tiada akses cuti sakit, cuti bersalin atau perlindungan jika terlibat dalam kemalangan ketika bekerja.

Dalam pada itu kata Sim, kejayaan meluluskan RUU ini adalah titik tolak kepada reformasi tenaga kerja negara dalam era digital.

Jelasnya, kerajaan tetap komited untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat platform supaya pelaksanaan undang-undang berjalan lancar tanpa membebankan mana-mana pihak.

“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan. Pelaksanaan dan penguatkuasaan selepas ini akan menjadi kayu ukur sebenar sama ada pekerja gig benar-benar dilindungi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast